21 August 2013

“Bila nak kahwin?”





Bulan Syawal ini, bukan sahaja dipanggil bulan kemenangan mungkin juga boleh dipanggil ‘bulan cinta’ buat mereka yang memilih untuk membina rumahtangga pada EidulFitri.

Scroll newsfeed kat FB, sambil baca berita tentang keadaan genting di Mesir dan tatap gambar-gambar syuhada’ yang semakin bertambah di sana, tak kurang banyak juga dipostkan gambar kahwin sahabat-sahabat di sini.

“Just married”- dengan senyuman yang cukup manis bersama pasangan masing-masing.

“Barakallahulakuma, wa jama’a fil khair” saya ucapkan buat teman-teman FB yang sudah berjaya menyempurnakan separuh agama membina Bait Muslim. Tahniah.

Saya tumpang gembira, namun saya juga tumpang kena ‘tempiasnya’.

Ramai saudara mara datang bertandang ke rumah pada hari raya yang lepas. Soalan cepu mas tu memang tak dapat dielak lagi.

“Wanis, bila nak kahwin?”

Senyum.

“Kak Wanis, bila pulak walimah akak?”

Senyum.

“Nis, bila nak makan nasi minyak? Kahwin cepat-cepat deh. Kawan-kawan yang lain dah timang anak dah.”

Senyum.

Hanya senyuman yang mampu diberikan pada mereka yang bertanya.

Sebab tiada jawapan sebenarnya pada semua pertanyaan itu. Persoalan yang sama.

Bibir masih cuba diukir senyuman yang paling manis, meski rasa hati yang haru biru itu hanya Allah Yang Maha Tahu.

*Senyum kelat sebenarnya…*

Kerana memang saya tak punyai jawapan yang tepat pada persoalan mereka. Kerana saya sendiri tidak dapat meneka, siapakah jodoh yang akan Allah tetapkan untuk diri yang doif ini??



“Haza min amri Rabbi” (Ini adalah urusan Tuhanku)



Teringat seketika kata-kata teman di sekeliling yang cuba untuk ‘menenangkan’ diri tika digamit resah.

“Wanis, awak sangat baik orangnya. Saya yakin awak akan bertemu dengan orang yang sebaik awak juga. Allah takkan mensia-siakan awak.”

“Insha Allah, enti. Ana yakin Allah lagi sedang menyediakan yang terbaik untuk enti, akan datang jodoh yang tak disangka-sangka nanti.”

“Kak wanis, hanya orang yang bertuah akan dapat memiliki akak. Allah sangat sayangkan  akak dan Allah nak bagi yang paling baik, paling soleh untuk akak kelak.”

Allahu Allah.

Berbaur rasa bila mendengar kata-kata mulus mereka.

“…Allah, sungguh hamba tak sebaik mereka sangkakan. Hamba inilah yang paling banyak kelemahan dan kekurangan, Engkau Maha Tahu akan segala kelemahan hamba…paling doif, paling hina di hadapan Mu…

Sungguh, tika diuji hamba inilah yang paling teruk menangis di hadapanMu… Manakan layak untuk mendapat yang terbaik?

Sedang diri lagi compang camping amal denganMu…selalu tidak setia kepadaMu…selalu juga memungkiri janji-janjiku padaMu…Allahurabbi…”

*Tunduk malu kepada Mu…*
*Adik, sebab akak masih ‘tak cukup baik’, masih banyak kuranglah sebab tu masih banyak lagi kena baiki sebelum melangkah masuk alam tu…*






“Saya masih nak sambung belajar lagi, insha allah akan sambung master dalam bidang Usuluddin juga. Soal jodoh, biarlah Allah tentukan.”

“Oh, kalau Nis ambil master lepas ni lagi mahal orang nak masuk ‘mintak’, kurang-kurang kena sediakan RM 10,000 sebagai hantaran…”

Ketawa kecil saya mendengar kalam seorang sahabat ini.

Allah. Saya bukan barang dagangan, dan tak pernah terfikir pun walau sepintas di benak akal untuk mendapat mahar hantaran sebanyak itu?

Yang saya bayangkan selama ini walimah saya kelak hanyalah majlis yang sederhana tetapi penuh dengan keberkatan. Penuh dengan naungan malaikat rahmat mengelilingi dan mendoakan.

Mahar yang saya impikan adalah senaskhah tafsir Al-Quran, itu sudah cukup buat saya.

Kerana di sebalik tafsiran Quran Al-Jalalain (dibeli umi di Mekah) itulah yang selalu dirujuk dan ditaddabbur maksud bait kalam cinta-Nya (yang ada dirujuk sekarang dalam bahasa arab), saya harapkan dapat mentaddaburkan pula bersama-sama dengan ‘zauji’ kelak.

Ketahuilah.

Mahal seorang wanita muslimah itu, bukan kerana tingginya pangkat, bukan kerana pesona wajah jelita yang dimiliki, bukan juga kerana hartanya yang melimpah.

Tidak juga dinilai pada ‘tingginya peringkat pengajian’ yang dia pelajari. Tetapi, nilaiannya pada sosok peribadi mukminah yang dia miliki.

Kerana tinggi mana pun tahap pengajian yang wanita pelajari, lagi tinggi martabat seorang suami yang harus dia sanjungi dan hormati kerana syurga seorang isteri berada di bawah tapak kaki suami.

Bagi saya, ‘lamaran yang termahal’ adalah  dengan  cara  risikan  yang  terhormat.

Dengan si dia datang meminta baik-baik melalui wali, bukan secara ‘menerjah’ tuan empunya diri.

Yang si dia ‘berjaya mencuri hati’ wali terlebih dahulu, daripada hati tuan empunya diri.

*Wujudkah ‘si dia’ seperti itu?*

*Ada, cuma tak muncul lagi sekarang…*

*Tahniah buat sahabiah-sahabiah saya yang sangat bertuah kerana mendapat ‘lamaran termahal dan terhormat’ dari suami kalian. Kagum. *


“Perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang
perbelanjaan ( mahar )”.  ( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )




 “Menanti jodoh itu, memang perlukan doa dan usaha. Dan usaha yang utama kita adalah sedaya upaya mungkin menjadi solehah, sebelum bisa mendapatkan yang soleh.”


Buktinya? Mungkin secebis kisah ini boleh diambil sebagai inspirasi yang indah.

Terngiang-ngiang kembali perbualan saya bersama seorang akhawat yang rapat dengan saya, juga merupakan teman seperjuangan dalam dakwah selama 3 tahun di Kuin.

Masa itu, kami sama-sama bangun qiamullail. Usai solat, dia meluahkan perasaannya.

“Wanis, akak tak dapat bayangkan kalau-kalau dia (tunang) bukan tergolong dalam golongan  yang bangun tahajud?”

Saya terdiam. Memikirkan dalam-dalam kalamnya itu. Melihat pada amalannya, jujur saya katakan bahawa akhawat yang saya kenali itu amat menjaga qiamnya.

Selama saya selalu pergi tidur di rumah sewanya untuk sama-sama menyiapkan pelbagai kertas kerja, akhawat ini amat saya kagumi dari sudut ibadahnya.

Subhanallah, dia sangat menjaga solatnya di awal waktu dan qiamullail jarang sekali dia tinggalkan (kecuali ‘cuti’).

Walau bagaimana dia letih dan penat berjaga malam kerana banyaknya program-program yang harus dilaksanakan, sampai kadang-kadang tidur jam 1 atau 2 pagi tetapi masya-Allah yang hebatnya, dia masih tetap ‘terjaga’ bila jam handphone berdering pukul 5 pagi.

Segera dia bingkas bangun sambil gerak saya yang nyenyak tidur di sebelahnya untuk sama-sama tahajud.

Bagi saya, persoalan yang dia runsingkan itu adalah wajar.

Bagaimana nanti kalau suaminya kelak bukan orang yang bangun tahajud, sedangkan si isteri sentiasa bangun malam untuk qiam?

Sungguh, saya sendiri tak sanggup kalau berdepan dengan ‘situasi’ itu.

Mungkin sesetengah orang menganggap ia bukan perkara yang besar.

‘Tahajud solat sunat je, bukan wajib. Tak bangun pun tak pe.’

Ini bukan soal wajib atau tidak, ia adalah soal ‘kebersamaan’ pasangan itu dalam sama-sama menjadikan wasilah ibadah yang utama untuk meraih redha Allah.

Dengan solat tahajud, ia adalah suatu kekuatan dalaman yang luar biasa, dan kekuatan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya.

Orang yang selalu istiqamah dengan qiamullail, maka dia akan merasai betapa manisnya kelazatan ibadah itu, yang jika tidak melakukannya, hidupnya terasa ‘kehilangan’ dan ‘kekosongan’.

Berbeza pula dengan orang yang tidak pernah qiam, atau jarang sekali bangun qiam maka sudah pastilah ia akan merasakan perkara itu adalah biasa.

Berbalik pada luahan kegusarannya itu, maka saya menjawab kepadanya.

“Ukhti, serahlah pada Allah. Insha Allah, saya yakin tunang ukhti juga adalah orang yang bangun qiam juga.”

Dalam hati, saya merasa yakin dengan janji-janji Allah. Takkan Allah sia-siakan akhawat itu, yang hubungannya sangat rapat dengan Tuhannya.

Pasti, yang baik-baik juga untuknya.

Syawal ini, dia telah bernikah.

Allahuakbar, betapa maha benarnya janji Allah bahawa suaminya itu juga adalah orang yang memang istiqamah bangun qiam!

Malahan, suaminya itu tidak pernah tinggal solat berjemaah 5 waktu di masjid.

Subhanallah, subhanallah! Sungguh, saya tumpang bersyukur untuknya kerana telah mendapat suami yang sangat soleh.

Kalian bagaimana?

Mahukan rijal seperti apa? Jika mahu yang bangun tahajud seperti itu, maka diri sendiri yang terlebih dahulu istiqamah ye.

Mahukan rijal yang menghormati orang tua, penyayang, ringan tulang dan sebagainya… Tiliklah diri yang utama, adakah kita sudah punyai ciri-ciri itu?

Tidak salah bermimpi. Tidak salah mahukan suami idaman. Maka, diri juga harus bergerak seiring dengan apa yang dimahukan.






Buat mereka yang sama seperti saya…

Buat mereka yang masih ‘sendirian’ seperti saya…

Buat mereka yang masih ditanya-tanya soalan yang serupa seperti saya…

Jangan marahkan mereka yang bertanya, “Bila nak kahwin?”

Kerana mereka berhak bertanya. Kerana mereka bertanya sebab mengambil berat pada diri kita.

Duhai muslimah…

Sesungguhnya, saya tidak ada kalam indah untuk diperkatakan. Kerana diri sendiri pun sentiasa ‘berperang’ dengan emosi dan perasaan.

Namun, hati tetap sentiasa ingin menyakini janji-janji Tuhan.

Didiklah hati tanpa henti. Perbaikilah diri tanpa jemu.

Usah jadi pungguk rindukan bulan, yang pungguk itu cuma tahu duduk di atas pokok merindukan bulan, tetapi ia sendiri tidak pernah usaha untuk terbang ke bulan.

Ya. Kita memang tidak akan pernah sempurna, tetapi berusahalah sedaya upaya mencapai kemampuan yang kita ada.

Dan, syukurilah saat-saat ‘sendirian’ ini, kerana Allah lagi sedang mengajar kita untuk lebih mencintai-Nya dengan sepenuh hati. Sepenuh jiwa, bukan separuh sahaja.

Allah lagi sedang berbicara dengan kita soal ketulusan hati kita kepada-Nya, bukan kerana manusia.

Allah lagi sedang berbisik halus kalam rindu agar kita lebih merindui-Nya daripada segala isi dunia.

Kerana cinta manusia tidak akan pernah kekal dan abadi.

Dan diri harus sentiasa ‘sedar’, jodoh yang akan kita nikahi, yang akan bergelar suami, belum tentu lagi milik kita yang mutlak.

Siapa yang akan menjamin suami itu akan kekal bersama dengan kita sehingga hujung usia?

Siapa yang akan memegang hati suami itu untuk setia kepada kita tanpa berubah rasa cinta dalam hatinya?

Sesungguhnya, tiada siapa yang mampu menjamin dan memegang hati tiap jiwa, kecuali DIA yang Maha Esa.

Kerana cinta Allah itu sudah mutlak, pasti kekal, tidak akan berubah dek zaman.

Kerana cinta Allah itulah yang menjadi tunjang utama untuk meraih syurga cinta di dunia untuk dibawa hingga ke jannah-Nya.

Akhirul kalam, semoga hati yang ‘sendirian’ itu diikat kemas-kemas ikatannya dengan Ilahi, agar tidak putus pula ikatan hati itu di saat bersama dengan makhluknya kelak...

Sekian.


“Pernikahan itu cuma salah satu alat untuk sampai kepada matlamat.
Matlamat untuk meraih redha Allah.
Dua hati akan terikat teguh jika dibina asasnya kerana Allah, tetapi akan hancur jika bukan kerana Allah…”


* Terima kasih untuk semua rijal yang pernah hadir dalam hidup ini, yang ada mengetuk dinding inbox di fb cuba untuk merisik dan melamar diri yang serba kedoifan ini…

Sungguh! Amat menghargai kalian yang sudah berusaha namun kerana bukan jodoh yang Allah catitkan, maka dipohon jutaan kemaafan andai ada yang terasa hati atas penolakan… 

Semoga, akan sampai ‘si dia’ yang benar-benar dapat mencuri hati wali pada satu masa yang tepat…

Wallahua’lam.


“Semoga, cinta kerana Allah akan termiliki.
Meski diri tidak pernah sempurna mencintai Ilahi.
Namun kerana rahmat-Mu Ya Rabbi,
Akan kutagih cinta-Mu tanpa henti...”




* Berbicara soal jodoh bukan untuk dilalaikan, cuma sekadar iktibar untuk kita sama-sama menjadi hambaNya yang lebih baik. 
* Jangan dilupakan juga berdoa untuk saudara kita di sana*

* Allahumma yansuril ikhwanina fi Misr ya Rabb!*


: hikmatul islam
: 13 syawal 1434H
: 0500 pm

16 August 2013

Selamat Jalan Duhai Syuhada’




“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (maksudnya menunggu apa yang telah Allah janjikan kepadanya) dan mereka tidak mengubah (janjinya).” (al-ahzab:23)



Gugur, satu persatu.

Saat ini, saat kalian sedang membaca entry ini, nun di sana di bumi kinanah Mesir sedang bermandikan darah.

Nun di sana, mereka sedang berperang hebat, masih bergempur habis-habisan melawan kaum kafirin laknatullah.

Di saat ini, kita di sini masih sedang enak dibuai tidur… mereka di sana, cedera parah. 

Di saat ini kita masih mampu bergelak tawa… mereka di sana meraung tangis menatap wajah-wajah yang tidak bernyawa.

Allahurabbi…sungguh! Tidak termampu untuk membaca setiap kalam berita tentang apa yang berlaku di Mesir kini.

Tidak sanggup melihat darah-darah saudara seislam yang memercik di sana sini, dibunuh sewenang-wenangnya tanpa perikemanusian.

Zalim, tersangat zalim! Betapa mereka kaum kuffar sentiasa ingin memusuhi Islam semenjak dari dulu hingga kini. Tiada henti.

*seriously, tak mampu nak tatap lama-lama video dan gambar mereka yang dibunuh dengan kejam...pedih, sebak yang menyesakkan dada…





Mereka yang gugur, syahid.

Dijanjikan syurga indah tiada tara.

Kita pula bagaimana?

Allahu Allah…

Tergegar rasa jiwa. Seperti terkejut dari sebuah lena.

Bangunlah duhai jiwa-jiwa yang ‘tidur’!

Lihatlah keadaan tenat mereka di sana. Tidak adakah sebarang rasa?

*rasa tertampar diri sendiri*





“Allahumma yansuril ikhwanina fi misr ya rabb!”


Doa, doa, doa.

Teruskanlah berdoa.

Tembaklah doa yang tulus dari jauh.

Doa dari hati yang paling dalam.

Kerana doa itu senjata mukmin yang paling utama.

Kita tidak akan pernah tahu doa yang siapakah yang akan mengegarkan arasy-Nya?

Dan, kita tidak akan pernah bisa melihat dengan mata zahir, berbondong-bondong tentera-tentera Allah dari langit akan turun membantu mereka di sana.

Betapa, kita tidak mampu untuk mengangkat senjata untuk membantu mereka di sana. 

Namun, bukankah kita bisa untuk mengangkat tangan untuk berdoa kepada mereka?

*doalah tanpa henti, sesungguh hati*

Kerana Allah lagi sedang menilai apakah bentuk ‘bantuan’ kita kepada mereka...

~Doa qunut nazilah (pless tolong doa, cuma 1 minit sahaja)






“Dan Allah menghalau orang kafir itu yang keadaan mereka penuh dengan perasaan marah dan geram kerana mereka (juga) tidak memperoleh keuntungan apa pun. Cukuplah Allah (yang menolong) menghindarkan orang mukmin dalam peperangan. Dan Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (al-ahzab:24)

(terjemahan tafsir: Allah mengirimkan pertolongan dengan angin dan malaikat)


“Untukmu daie, daieyah.

Kita di sini masih tempang dakwah dan tarbiyah. Masih terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk mengislahkan ummah yang kian parah.

Andai jiwamu sebegini lemah, malulah untuk bergelar jundullah. Apatah lagi untuk meraih gelaran syahidah!”

*terlempar kata-kata ini untuk diri sendiri, tertunduk, malu...*


" Manusia yang hidupnya untuk dirinya sendiri, usianya amatlah pendek. Bermula dari hari kelahirannya dan tamat ketika maut.
Akan tetapi bagi mereka yang hidup untuk PERJUANGAN, usianya panjang, sepanjang perjuangan itu.
Bermula dari hari diciptakan Adam dan berakhir sehingga Dia memusnahkan alam."
(Sayyid Qutb)



(mereka tetap mentaddabbur ayatNya, teguh berpegang pada janjiNya meski hebat digoncang dengan serangan, kita di sini pula bagaimana?) 


Allah.

Pilihlah kami untuk sama-sama berada di kalangan para pejuang agamaMu.

Pilihlah kami untuk sama-sama berada di kalangan mujahideenMu.

Tetapkan hati kami, buangkan segala rasa gentar dan takut terhadap musuh. 

Sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik penolong, maka cukuplah Engkau untuk kami terus thabat di atas jalan perjuangan ini...Allahumma amin...


“Wa jaahiduu fillahi haqqa jihaadih, huwajtabaakum wamaajaa'la a'laikum fiddiini minharaj.”
-Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. (22:78)






: hikmatul islam
: 9 syawal 1434H
: 0800 pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...