26 March 2011

DIARI HIKMATUL-(Ukhuwwah Fillah Abadan Abada)







         Hikmatul membelek mesej yang diterima …  Panjang untaian kata-kata yang dihantar khusus untuk dirinya.. Sambil tersenyum, tidak tersedar air matanya menitis.. Hati merasa haru dan pilu, betapa dirinya tidak selayaknya dipersonifikasikan sedimikian rupa.. 
         
         Betapa terlalu banyak kekurangan dan kelemahan diri, tetapi masih ada insan yang menganggapnya terlalu istimewa dan menghargai dirinya.. Lalu Hikmatul ingin mengabadikannya di dalam ‘DIARI HIKMATUL', biar tersemat kukuh di jiwa menjadi tatapan dan kenangan ukhuwwah yang terindah dalam hidup ini…



Dari Ukhti Tersayang:



(Mesej 1)

Adikku,
Pernah dahulu diriku memikirkan
Apakah hidupku akan menemui kebahagiaan
Setelah mengalami banyak penderitaan…
Namun,
Setelah ku temui dirimu
Baru ku tahu kau hadir
Mengembalikan kekuatan
Sebagai pengubat ketika duka
Sebagai teman ketika sepi
Dan sebagai pendorong utk berjaya…


Adikku,
Wajahmu ku lihat wajah kemurniaan
Matamu ku lihat cahaya kejujuran
Tutur katamu ku dengar alunan keikhlasan
Moga ia adalah anyaman dari sebuah ikatan
Tulus ikhlas kerana Ar-Rahman…

Dalam meniti kembara ini
berdoalah agar kita berjaya
dalam mengorak langkah bersama
berteman janji yg ingin dikata
dalam mencari sebuah kejayaan
semoga Allah memberkatinya…

Terima kasih atas segalanya
Dan yang pasti
Engkaulah yang teristimewa…
  

(Mesej 2)


Adikku,
Kau adalah titisan embun pagi
Yang jatuh membasahi kegersanan hati
Hingga mampu menyuburkan
seluruh taman sanubari dalam kesejukan…

Kau adalah bintang gemintang
Menyinari malam di angkasa raya
Yg menemani diriku kesendirian
Bagai rembulan yang berduka
Hingga mampu menerangi gulita semesta alam...


Adikku,
Kau bagaikan pokok rendang
Dengan dahan yang memayungi
Dari panas teriknya sang mentari
Hingga mampu memberi keteduhan dn kedamaian…

Kau diibaratkan kumpulan mata air
Dari telaga suci yang jernih mengalir tanpa henti
Hingga mampu menghapuskan
Rasa panas dan membara amarah diri ini…


Adikku,
kau adalah lebatnya hujan turun
menyirami setiap jengkal bumi yg berdebu
hingga mampu membersihkan
mahkota bunga dan dedaun dalam kesucian…
Dan kau adalah untaian intan permata
yang berkilau indah sebagai anugerah tiada tara
hingga mampu menebar pesona jiwa dalam keindahan…



(Mesej 3)


Adikku sayang,
biar sebutan tak seindah bicara
biar laku tak seindah bicara
namun tetapku rasa keistimewaanmu…


Dik!
Walau tak setulen darah
Walau tidak mesra
Walau jarang bersua muka
Engkaulah yang paling istimewa…
  

Seringkali kita saling terasa
Biar jarang bertegur sapa
Namun hatiku selalu merasa
Betapa kasihmu membajai usaha…


Akan ku paut seluruh katamu
Kujadikan mutiara keinsafan
Agar bergegar seluruh alam
Betapa utuhnya ukhwah kita
Dan tidak akan ia terhenti
Melainkan kita telah pergi..


Adikku!
Izinkan kuukir panggilan indah itu
Biar ia tersimpan indah
Bersama bungaan di gugusan
Sungguh dirimu kusayangi
Sampai penghujung kehidupan akan kuselami…


*salam sayang bersulam ukhuwwah*



Dari Adikmu yang disayangi:



Ukhti,
Betapa hati merasa haru dan pilu
Sambil tersenyum tidak tersedar
Air jernih bertakung di kolam mataku
Apabila diri menatap
Tiap bait kata yang kau hulurkan buatku
Daku tertanya-tanya pada diri,
Apakah ku layak untuk metafora seperti itu ukhti??
Sedang diri sangat jauh dari personifikasi
yang kau gubah untuk diriku yang hina ini…


Ukhti…
Kasihmu harum mewangi
Sayangmu tulus suci
Dirimu tiada galang ganti
Untaian doa dan syukur kupanjatkan kepada Ilahi
Kerana menghadirkan kau dalam hidupku ini…


Sesungguhnya…
Engkau datang menghulur tangan
memberi tanda kasih sayang Tuhan
Yang datang mengingatkan daku
tika ku jauh dari Sang Pencipta
yang datang memberi peringatan dan nasihat
agar daku tidak lalai dan alpa
yang menjadikan daku semakin yakin kpd Sang Pencipta…


Ku merasa syukur padaMu Tuhan
Kerana memberi kita peluang
Untuk merasai manisnya ukhwah yang didasari
Dengan keikhlasan dan ketulusan iman
Kerana tanpa dirinya
Sepilah aku dari kasihMu
butalah daku dari mengenal cintaMu
Kosonglah hidupku dari gelak tawa dan tangisannya
Yang membuatkan daku semakin
rindu untuk bertemu denganMu…


Ukhtiku tersayang,
Jangan dipikul daku sebagai beban di bahumu
Nanti engkau akan merasa letih dan lelah
Tetapi berjalanlah seiring denganku
Agar kita sama-sama berpimpin tangan
Mencari kasih dan redha Tuhan…


Ukhti…
terima kasih kerana sudi
menyayangi dan menghargai diri ini
Kan ku pegang segala kata-katamu
Dan ku sematkan kukuh di jiwaku
Takkan sesekali ku lupakan
Segala pesanan dan nasihat
yang kau titipkan padaku
Moga menjadi penguat iman di hati
Moga menjadikan daku semakin dekat dengan Ilahi…


Ya Allah,
Engkau telah temukan daku dengan teman sejati
Maka teguhkanlah ikatan antara kami
Seperti kasihnya para sahabat kepada Nabi…
Ya Hannan,
Tiap yang hidup pasti akan merasa mati
Tiada yang kekal melainkan Engkau yang Abadi
Andai bepisah mati kami di dunia
Tiada yang ku pinta darimu Ilahi
Temukan kami semula di pintu syurga
Agar hubungan kami akan kekal bahagia
Buat selama-lamanya di sana..
Amin ya Rabb..!





03 March 2011

HUSNU ZAN ITU INDAH



“Alangkah indahnya…
Andai kita saling berbaik sangka
Andai kita saling menjaga
Adab dan akhlak diri kita
Bukan saling berburuk sangka
Sehingga menimbulkan fitnah dan nista…”




Post entry pilihan penulis kali ini berkisarkan kepada pandangan kita dan pandangan manusia. Kenapa? Kerana kebiasaanya apa yang kita lihat itulah yang akan kita nilai...


Bukan semudah kata untuk berbaik sangka

‘Husnu Zan’ atau bersangka baik hakikatnya sukar.  Sememangnya payah bagi sesetengah orang untuk berhusnu zan nie.

Mungkin ada dari kita yang lebih suka berfikiran negatif dahulu daripada positif. Kenapa ya??

Benar... Bukan semudah kata untuk berbaik sangka. Saya akui diri saya juga kadang-kadang mudah bersangka-sangka, dan cepat pula membuat kesimpulan atas sangkaan itu.

Sesungguhnya artikel ini bukan ditulis untuk ditujukan kepada sesiapa,, sekadar perkongsian ilmu dan muhasabah diri tetapi lebih memberi peringatan kepada diri saya sendiri dan kalian jua…

Hakikatnya memang begitu. Manusia lebih suka bersangka-sangka, dari memilih berbaik sangka.

Lantas Allah menegur manusia yang kebanyakan mempunyai sifat begini dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” (Surah Al-Hujurat:ayat 12)

Berburuk sangka lama-lama akan melahirkan buah fitnah

Apa perasaan kamu andai ada orang yang suka berburuk sangka kepada kamu, atau suka memikirkan hal-hal yang buruk daripada yang baik tentang diri kamu?

Pastinya kita akan merasa sedih bukan, jika sangkaan buruk itu lama-lama menjadi fitnah kepada diri. Lebih-lebih lagi jika kita yang berniat melakukan amal kebaikan, tetapi lain pula yang dipandang oleh manusia.

Mereka merasakan kebaikan yang kita dilakukan itu hanyalah untuk bermuka-muka, kerana inginkan pujian, pangkat, harta dan seumpamanya lantaran sangkaan-sangkaan mereka yang buruk itu akhirnya membawa kepada fitnah. Kesannya amatlah buruk dan boleh membawa kepada pergaduhan dan perpecahan kepada umat Islam. Tafsiran dari Surah Al-Hujurat:ayat 6 menyebut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” 


Sesungguhnya, orang yang suka su’u zan sebenarnnya mereka merasakan diri mereka lebih baik dari orang lain. Kerana itu, mereka ‘lebih nampak’ kesalahan orang lain berbanding dari kesilapan diri sendiri.

Bagi golongan ini, mereka yang suka berburuk sangka dan sentiasa mengintai-intai kesalahan orang lain, maka sedarilah bahawa siapa kita hendak menilai amal yang dilakukan oleh seseorang manusia itu sedangkan Allah jualah yang selayaknya menilai amal tersebut. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

“Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Surah An-Najm:ayat 28)

Mari kita sama-sama muhasabah diri kembali,, apakah kita termasuk dalam kelompok orang yang berburuk sangka ini?? Nilailah diri kita dahulu sebelum kita menilai diri insan yang lain…


Sikap husnu zan penting bagi daie yang ingin berdakwah

Sikap husnu zan sangat penting bagi seseorang daie yang ingin berdakwah. Masakan tidak, jika para daie mereka sendiri telah meletakkan satu tanggapan negatif dan buruk terhadap mad’u, maka apakah ia pantas dan layak untuk menjadi seorang pendakwah yang baik?

Pastinya dia akan menyampaikan seruan itu dengan cara yang tidak berhikmah lantaran dia sendiri telah mencipta satu penghadang antara orang yang ingin diseru itu.


Mungkin sahaja dia berkata dalam hatinya;


‘Orang sebegini kalau diberitahu sekali pun tidak akan meninggalkan kesan apa-apa lantaran Allah telah menutup pintu hatinya untuk menerima hidayah dan kebenaran’

Apakah kita pantas dan layak untuk berfikiran seperti itu?

Apakah kita tahu selamanya dia tidak akan memperoleh hidayah?

Dan apakah kita yang berada dalam hidayah ini akan terus kekal dalam hidayah Allah buat selama-lamanya?
Bermuhasabahlah kembali…

Hidayah milik Allah, Dia yang selayaknya menentukan untuk siapa hidayah itu akan kekal kepada seseorang manusia sehingga hujung nyawanya.

Boleh jadi hari ini kita jauh dari melakukan perkara keji lantaran hidayah yang Allah kurniakan, dan orang itu jauh tersasar dan sesat dalam kemaksiatan tetapi kemungkinan suatu hari nanti dia akan diberi petunjuk dan berubah lebih baik dari kita, siapa yang sangka?

Kita sebagai hamba tiada jaminan untuk menetapkannya, melainkan kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar sentiasa kekal dalam rahmat petunjuk Sang Khalik.

Sesungguhnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui keadaan makhluknya. Dia yang lebih mengetahui hati-hati 
yang ikhlas dan tulus untukNya, bukan manusia yang berhak mengukur semua itu...



Jangan pesimis!

Jangan terlalu pesimis. Berfikiran buruk dan negatif. Ubahlah perspektif anda. Hakikatnya, setiap orang tidak ada yang sempurna. Lebih-lebih lagi para sang daie perlu bersikap terbuka, jangan kerana kekurangannya kita menghina dia.

Dan jangan pula kerana satu sikap yang buruk yang kita lihat padanya itu, kita terus menghukum dan menilai pada keseluruhan dirinya dengan suatu tanggapan yang dia sememangnya tergolong dalam golongan orang yang tidak baik dan jahat.

Jika terbukti pula dia sememangnya melakukan perkara buruk tersebut, maka pilihlah untuk kita menghukum atau menegur dan menyeru supaya dia kembali lagi kepada-Nya?

Pilihlah untuk menghina dia atau berdoa kepada Allah agar membuka hatinya dalam menerima cahaya petunjuk dari Ilahi.



Pilihan berada di tangan kita

Semua ‘pilihan sangkaan itu berada di tangan kita’. Tidak rugi sedikit pun orang yang berbaik sangka, melainkan Allah menambahkan pahala dan membuatkan orang juga berbaik sangka kepada diri kita. Sesungguhnya segala sangkaan buruk itu adalah sangkaan yang sangat dusta lantaran kita tidak mempunyai pengetahuan dan nilaian yang sebenar terhadap sangkaan tersebut. 


Sabda Rasulullah s.a.w:

"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu perbicaraan yang paling dusta." (Hadis Riwayat Muttafaqun alaihi)

Oleh itu, alangkah eloknya jika kita saling berhusnu zan. Lihatlah kebaikan-kebaikan yang ada pada diri manusia dengan pandangan yang tulus, dan tegurlah kekurangan-kekurangan tersebut dengan cara yang lebih berhikmah.

Dan sebaik-baik sangkaan adalah husnu zan kepada Sang Pencipta yang mencipta makhluknya dengan pelbagai sifat dan ragam. Maha Suci Allah yang lebih bersangka baik kepada hamba-hambaNya dengan sentiasa memberi peluang kita kembali dan bertaubat kepadaNya…




Secebis kisah: Berhusnu Zan lah!

Di sini saya ingin berkongsi sebuah kisah. Semasa saya ingin menunaikan solat zohor di sebuah shopping kompleks, datang seorang wanita dengan pakaian yang sendat dan ketat, berseluar jeans dan baju T-shirt yang menampakkan seluruh bentuk badannya.


Rambut pula diwarnakan dengan warna keemasan. Melihatkan wajahnya dihiasi dengan penyinar pipi, gincu dan alis keningnya yang halus, pandangan saya terpana kepadanya seketika.  Dia kemudian masuk ke dalam ruangan sempit yang dijadikan musolla itu seraya mengambil wuduk untuk solat.

Dalam hati telah berbisik: ‘Subhanallah,,pakai macam nie pun masih ingin solat?’

Terselit sebuah perasaan aneh dan pelik. Mungkin juga saya yang aneh kerana tidak pernah melihat keadaan seumpama itu. Sememangnya saya ‘menyangka’ dari perwatakan dan pakaian luarnya yang sedemikian dia tentu jauh dari solat tetapi ternyata sangkaan saya yang buruk itu meleset. Dia masih lagi Allah berikan petunjuk untuk menyucikan diri menghadap wajah kepadaNya.

Saya termenung sejenak. Cuba memperbetulkan kembali anggapan awal saya padanya. Mungkin sahaja solatnya lebih khusyuk dan sempurna, dari orang yang sempurna pakaian luarnya tetapi jika hatinya lalai dari mengingati Allah semasa mengerjakan sembahyang.  Jadi, siapakah yang lebih baik dalam soal ini?

Akhirnya satu lafaz dilantunkan dalam diam; “ Ya Allah, dengan sifatMu yang Maha Pengasih..moga dengan solat yang dia masih ingin kerjakan keranaMu, maka Engkau berilah hidayah kepadanya untuk menutup aurat dengan sempurna selepas ini..amin”

Saidina Umar Al-Khattab ada berkata: “Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.

Kesimpulannya, berhusnu zan lah, sungguh hidup ini akan menjadi indah dengan sangkaan-sangkaan yang indah juga! =)

(p/s: Ya Allah..lindungiku dari sebarang fitnah,, samada fitnah dunia mahupun fitnah di akhirat… sesungguhnya daku tidak mampu menahan sangkaan-sangkaan negatif insan terhadap diri ini, cukuplah Engkau sebaik-baik pelindung..amin!) 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...