20 June 2011

KAHWIN AWAL: BERSEDIAKAH?




*Sahabiah-sahabiah dari KIAS yang telah mendirikan Bait Muslim*


  • Nazurah dengan pasangannya Muaz Syukry (26/3/2011)
  • Fatimah Junoh dengan pasangannya Mohd (30/5/2011)
  • Zinnirah dengan pasangannya Ubaidillah (4/6/2011)
  • Syahida Hafizah dengan pasangannya Yusuf Bahij (5/6/2011)
  • Huda dengan bakal pasangannya Hafizulhaq (15/7/2011)



~Barakallahulakuma~





Assalamualaikum wbr..

Semoga sentiasa sihat walafiat, bahagia dan senyum-senyumlah selalu (kerana senyum itu sedekah!) (^^,)


Cuti persekolahan telah berlalu. Tak sempat sebenarnya penulis nak menyiapkan artikel pasal kahwin nie kerana semasa cuti tersebut penulis terpaksa balik awal ke kampus untuk tugasan menjadi fasilitator sempena Minggu Silaturrahim (MSR) kemasukan pelajar baru di Insaniah.  


Tidak berkesempatan juga untuk menghadiri kesemua jemputan kahwin sahabat-sahabat, yang sempat hanyalah Fatimah Junoh yang merupakan waris dengan penulis. Jadi sehari sebelum pulang ke kampus, alhamdulillah masih sempat menghadiri majlis perkahwinan yang dibuat di rumah kakaknya. Nampak sangat serasi dan sepadan dengan pasangannya yang lengkap memakai baju pengantin berwarna merah.


Sebelum nak kupas persoalan utama tajuk yang telah penulis letak, terlebih dahulu penulis ingin mengucapkan salam tahniah, mabruk dan salam bahagia kepada mereka semua. Meskipun tidak dapat menghadiri majlis kahwin sebahagian dari mereka namun doa tidak pernah lupa untuk dititipkan dari jauh.


Doa penulis, semoga Bait Muslim yang dibina dengan jalinan ikatan Rohiah kerana-Nya akan melahirkan Bait Muslim yang soleh dan solehah, penerus generasi perjuangan dalam menegakkan deen Ilahi serta bahagia berkekalan hingga ke syurga. Amin! =)



Garisan Umur Dalam Berkahwin


Sahabiah-sahabiah yang disenaraikan di atas sebenarnya mereka hanyalah sebaya umur dengan penulis, dalam lingkungan 20-22 tahun. Jika dilihat, sememangnya umur ini masih muda, lebih-lebih lagi kesemuanya masih dalam peringkat belajar dan tidak bekerja. Ringkas kata, kahwin semasa belajar.


Terfikir juga di benak fikiran, betapa mudahnya mereka menikah meskipun masih dalam belajar. Mungkin ibu bapa mereka yakin dan percaya kepada anak-anak yang mampu memikul dan menggalas tanggungjawab sebagai pelajar sekaligus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang besar sebagai suami ataupun isteri.


Dan saya juga yakin pada semua sahabiah saya kerana mereka mampu menjalankan amanah tersebut dengan sebaiknya memandangkan kepada kekuatan agama dan pesona akhlak yang mereka miliki.


Mengambil contoh, perempuan pertama dalam Islam yang menikah awal dengan Baginda SAW iaitu Saidatina Aisyah yang ketika itu baru berumur 9 tahun. Sememangnya umur tersebut masih berada dalam zaman kanak-kanak untuk berkahwin dan menjadi seorang isteri. Tetapi ia telah menjadi ketetapan takdir dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda SAW.


Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a. maksudnya:

“Bahawasanya Nabi saw telah mengahwini Aisyah sedang (ketika itu) ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun”.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Sesungguhnya Islam tidak menetapkan persoalan umur sebagai ukuran dalam pernikahan dan sepatutnya hal ini jelas bagi lelaki dan perempuan bahawa yang dipentingkan ialah agama.

 
Firman ALLAH Ta’ala menyebut yang bermaksud:

“Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu” (An-Nisa : 3).

Sabda Baginda SAW pula bermaksud:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda Rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (Hadith Hasan Riwayat Tirmidzi no 1084).



Kahwin Awal Bagi Yang Bersedia Dan Mampu


Berbalik kepada persoalan utama penulis. Kahwin awal, bersediakah?



Mari renungi sejenak....


Bagi sang lelaki, sudah cukup bersediakah menjadi imam dan pemimpin rumahtangga? Sesuai dengan tugasnya sebagai ketua keluarga, dialah yang akan membimbing, menuntun dan mencorak keluarga yang dibinanya. Jika diri sendiri masih banyak  kelemahan dan serba-serbi kekurangan dari sudut pegangan agama, bagaimana mungkin diri ingin membawa isteri dan anak-anak hingga ke syurga-Nya?



Bagi sang gadis pula, sudah cukup bersediakah untuk menjaga dan menyiapkan diri menjadi isteri yang setia, taat dan patuh kepada suami? Apakah sudah bersedia untuk melahirkan pejuang-pejuang agama? Apakah layak untuk melaksanakan semuanya jika diri masih lagi terumbang-ambing dan compang dalam asas agama? Apatah lagi untuk merebut syurga yang terletak sepenuhnya di bawah tapak kaki seorang suami... 



Persoalan ini sebenarnya bergantung kepada kemampuan dan keadaan individu masing-masing. Jika sudah sampai masa yang sesuai, ibu bapa redha dan kedua- dua belah pihak merestui maka bernikahlah.                                                                                                   

Sepertimana hadis Baginda SAW yang bersabda bermaksud:

“Wahai para pemuda, siapa di antara kalian yang mampu menikah (jima’ dan biayanya) maka nikahlah, karena ia lebih dapat membuatmu menahan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa tidak mampu menikah maka berpuasalah, karena hal itu baginya adalah pelemah syahwat.” (HR. Bukhari dan Muslim)


Firman Allah pula menyebut yang membawa erti:

“ Allah mengehendaki kesenangan kepada kamu dan tidak mengingini kesusahan menimpa kamu” (Al-Baqarah : 185).


Tak dinafikan kahwin semasa belajar ada kebaikan dan keburukannya. Punyai pro dan kontra, semuanya kembali kepada ukuran dan nilaian masing-masing. Nikahlah bagi yang mampu dan bersedia melayari kehidupan berumahtangga walaupun dalam masa yang sama berstatus pelajar.


Tetapi jika tidak, maka nilailah dengan sebenar-benar penilaian dan ukurlah baju di badan sendiri jangan sampai merana diri sehingga membawa kepada pergaduhan dan perceraian pula nanti…






Akad Nikah: Mitsaqon Ghalidon [perjanjian yang berat]


Benar. Soal nikah bukanlah satu urusan yang remeh, kecil dan perkara biasa tetapi ia adalah soal hidup yang besar. Akad nikah dan lafaz memang mudah, tetapi tersirat ‘makna yang cukup besar’ di sebalik lafaz tersebut, iaitu tanggungjawab sebagai suami atau isteri.


Tanggungjawab ini juga bukan terhenti setakat tanggungjawab pada pasangan masing-masing bahkan turut melibatkan tanggungjawab pada keluarga pasangan, bapa mertua, mak mertua, abang ipar, kakak ipar,adik ipar, ipar duai, sepupu dan sanak saudara keseluruhannya.


Persoalan nafkah zahir dan batin juga perlu ditimbang lebih-lebih lagi bagi yang bergelar pelajar. Pendek kata perlukan persediaan yang cukup dari segi mental dan fizikal kerana kehidupan selepas nikah bukan semudah kata pujangga, bukan semanis mulut bicara.   Melayari bahtera rumahtangga bukan sehari dua. Tetapi memakan masa yang lama. Hidup bersama hingga ke akhir usia. 


Jika tersilap perkiraan dan tidak cukup persediaan, tidak mungkin akan tercapai Bait Muslim yang Islam citakan untuk membangunkan generasi soleh dan solehah sebagai penerus perjuangan untuk deen-NYA malahan mungkin akan meruntuhkannya pula dek kerana rapuhnya pegangan agama sebagai teras utama.


Bagi pendapat peribadi penulis, bukan tidak boleh berkahwin semasa belajar, seperti yang dikatakan terpulang kepada keadaan individu masing-masing tetapi penulis merasakan diri tidak layak berada dalam kategori tersebut memandangkan terlalu banyak lagi yang harus dipelajari sebelum bahu mampu untuk memikul sebuah amanah dan tanggungjawab yang besar untuk menjadi seorang isteri.


Apatah lagi title ‘isteri solehah’ itu yang didamba untuk ke syurga-NYA. Oleh kerana itu ingin sekali 'solehahkan diri' terlebih dahulu kerana menyedari diri masih banyak kekurangan dan kelemahan, ilmu di dada masih terlalu cetek dan masih banyak pula cita-cita yang ingin digapai.



Sesungguhnya zaman semasa menuntut ilmu ini adalah medan tarbiyyah yang terbaik untuk mendidik dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan mengamalkan segala tuntutan agama, baik dari segi fardu ain mahupun fardu kifayah.


Laksanakanlah tugas sebagai tolib dan tanggungjawab sebagai anak dengan sebaiknya dengan mengenggam sebuah kejayaan terlebih dahulu untuk dihadiahkan kepada ibubapa tersayang, sebelum membina rumahtangga yang gemilang bercahayakan sinaran Islam.


Akhir kalam, soal jodoh Allah yang selayaknya untuk menentukan kerana hal ini sebenarnya termasuk dalam perkara ghaibiyyat. Manusia hanya mampu merancang, selayaknya Allah jua yang menentukan. Siapakah pasangan, bila dan di mana, hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya...                                                                                                                             


Semoga dengan mengutamakan menjadi hamba-Nya yang TERBAIK, maka DIA pasti akan menemukan dengan 'pemilik hati yang terbaik' juga, di saat dan masanya yang sesuai, yang telah Tuhan tetapkan dalam takdiran-Nya. Insya Allah…


Wassalam w.b.r.


*Bagi pendapat para pembaca pula bagaimana?

^ Fikir-fikirkan dan renung-renungkan, semoga Allah menetapkan hati membuat sebuah keputusan.! ^


~ Jagalah dan Cintailah Allah sepenuh hati, pasti DIA akan menjaga dan mencintaimu jua~


p/s: “Tak sabar untuk melihat ‘anak buah’ cik nes yang akan lahir awal bulan Ramadhan nanti. Sahabatku Siti Aishah Mat Daud, sila jaga kesihatan baik-baik yer! Kepada ‘anak buah cik nes’, jurus-jurus duk dalam perut ibu tue, insya allah akan jumpa Acik Nis dan Acik Aya suatu hari nanti.! (“,) semoga selamat melahirkan pejuang dan imam kecil untuk Islam. Amin =)

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...